ABDUL Hakim Hamdan mengurus isterinya, Sharifah Nur Nadira Idris, 32, minum di Kampung Raja Baram, Chendering, di sini. FOTO Faizul Azlah Razak
ABDUL Hakim Hamdan mengurus isterinya, Sharifah Nur Nadira Idris, 32, minum di Kampung Raja Baram, Chendering, di sini. FOTO Faizul Azlah Razak
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Biarpun berat membuat keputusan, seorang suami tiada pilihan terpaksa berhenti kerja demi menjaga dan mengurus isteri yang disahkan lumpuh sejak enam bulan lalu.

Penderitaan yang dialami Sharifah Nur Nadira Idris, 32, membuatkan ibu tiga anak itu kini bergantung sepenuhnya kepada suaminya, Abdul Hakim Hamdan, 37, bagi menguruskan makan minum, menukar lampin pakai buang dan memandikannya.

Abdul Hakim berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai buruh kasar dengan gaji tidak menentu dan mengambil keputusan berhenti kerja sejak Julai lalu selepas isterinya disahkan lumpuh berpunca daripada kanser payudara.

"Sekarang, kerja hakiki saya sepenuhnya menjaga isteri yang memerlukan perhatian kerana tidak boleh bangun.

"Isteri ada menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi kerana kos perubatan, lampin pakai buang dan sewa ambulan yang dianggarkan RM2,000 sebulan.

"Sebelum ini saya ada juga memohon bantuan menjaga orang sakit dengan JKM, namun gagal dan saya mohon orang ramai mendoakan isteri saya diberi keajaiban kembali sembuh," katanya yang ditemui di Kampung Raja Baram, Chendering, di sini, hari ini.

Katanya, elain menjaga isteri, tugas hariannya setiap hari menghantar dan mengambil anak sulungnya, Nur Aufa Fatihah, 8, di sekolah.

"Walaupun doktor mengesahkan harapan untuk isterinya kembali pulih tipis, saya berharap isteri diberi keajaiban untuk sembuh.

"Sekalipun bukan pulih sepenuhnya, sekurang-kurangnya dia boleh bangun tanpa bantuan orang lain, itu sudah bersyukur. Apa pun, saya reda dengan ujian Allah dan saya tidak pernah menyalahi takdir, sebaliknya akan menjaga isteri hingga akhir hayat," katanya.

Sementara itu, Sharifah Nur Nadira berkata, pada mulanya dia berasa terdapat ketulan dan sakit pada payudara ketika menyusukan anak bongsu, Nur Adeena Fatiyah yang kini berusia dua tahun, awal tahun lalu.

Menurutnya, dia yang tidak pergi melakukan pemeriksaan di beberapa klinik kerajaan dan swasta di Marang, namun semua doktor memaklumkan hanya penyakit radang susu.

"Bagaimanapun, kerana kerap berulang-alik ke klinik, doktor membuat temujanji berjumpa doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan mengambil mengambil sampel di payudara.

"Selepas dua minggu, doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara tahap empat dan perlu melakukan kemoterapi sebanyak enam kali sebelum melakukan pembedahan membuang sebelah payudara pada Februari tahun ini.

"Saya juga terpaksa menjalani radioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan selama empat hari dan kini tidak mampu berjalan akibat lumpuh dari paras dada ke paras kaki sejak Julai lalu," katanya.

Katanya, perasaan sedih memang tidak dapat digambarkan kerana kehidupannya kini terpaksa terbaring di atas katil dan tidak mampu melakukan urusan harian sendiri.

"Sekalipun doktor memberitahu penyakit ini sukar diubati, namun saya tidak mahu berputus asa dan berdoa supaya diberi sedikit kekuatan untuk sekurang-kurangnya dapat bangun untuk ke bilik air dengan bantuan kerusi roda," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1110141100039783 atas nama Sharifah Nur Nadira Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 4:08 PM