Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan mewujudkan task force untuk menyelaras skim pinjaman dan bantuan agensi di bawahnya kepada golongan terjejas susulan pandemik Covid-19.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, task force itu akan diketuai Ketua Setiausaha Medac, Datuk Suriani Ahmad bertujuan menyelaras skim sedia ada dan yang bakal diwujudkan supaya lebih tersusun dan sampai kepada golongan itu.

Katanya, tumpuan diberikan kepada lima golongan termasuk usahawan atau peniaga yang menggunakan modal sendiri atau mendapat bantuan agensi di bawah kementerian, golongan mahasiswa dan asnaf yang ingin menjadi usahawan serta golongan diberhentikan kerja.

"Kita mahu prosedur operasi standard (SOP) dikurangkan dan meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kelulusan dan penyaluran pinjaman itu.

"Ini berdasarkan pengalaman, apabila kelulusan telah diperoleh namun wang pinjaman itu mengambil masa begitu lama sampai kepada golongan memerlukan," katanya, hari ini.

NOH menyerahkan bantuan Perkeso kepada Rabiautul (dua dari kiri). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
NOH menyerahkan bantuan Perkeso kepada Rabiautul (dua dari kiri). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada Rabiautul Izzati Tenuri, 31, yang kehilangan suami akibat Covid-19 di Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, transformasi turut dilakukan kepada asnaf yang berniaga supaya menjadi pembayar zakat berbanding hanya menerima zakat sebelum ini.

"Untuk asnaf, kerjasama akan dilakukan dengan pusat zakat dan mereka perlu ada surat mengesahkan terdiri daripada golongan itu (asnaf).

"Insya-Allah, kita akan membantu mereka walaupun tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 11:15 PM