Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menubuhkan task force (pasukan petugas) berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini bagi menangani penyebaran sebarang berita palsu sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan berkenaan terdiri daripada lebih 100 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang berperanan memantau semua pemberitaan palsu yang tular di media sosial berhubung calon PRU-15.

Katanya, PDRM sudah membuat permohonan untuk mendapatkan peranti yang boleh digunakan dalam task force dan ia sudah pun dipersetujui serta diluluskan.

"Apabila adanya kemudahan peranti ini, ia secara tidak langsung dapat membantu task force memantau seberapa banyak berita palsu yang tersebar dan apabila dikenal pasti mereka boleh memadamkan berita berkenaan dengan segera.

"Tidak perlu tunggu laporan untuk siasat kerana tidak sesuai untuk menyiasat disebabkan perlu menunggu sehingga dua bulan dan pilihan raya pun sudah berlalu.

"Kalau calon menjadi mangsa dan teraniaya, maka task force yang ditubuhkan ini dibenarkan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia @Ketereh di sini, hari ini.

Annuar berkata, dalam masa sama, beliau juga meminta masyarakat yang mengenal pasti hantaran berita palsu yang tersebar di dalam media sosial yang membawa kesan negatif supaya melaporkannya kepada SKMM.

ANNUAR pada sidang media ketika hadir pada majlis penutup Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia. FOTO Bernama
ANNUAR pada sidang media ketika hadir pada majlis penutup Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 10:05 PM