SEBAHAGIAN 319 Pati dari beberapa negara yang didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen di Mahkamah Majistret Pontian. FOTO Omar Ahmad
SEBAHAGIAN 319 Pati dari beberapa negara yang didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen di Mahkamah Majistret Pontian. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Pontian: Seramai 319 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari beberapa negara, termasuk 61 wanita, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian, di sini, hari ini, atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Kesemua tertuduh yang berusia 19 hingga 53 tahun terdiri daripada 143 warga Myanmar, Pakistan (68), Indonesia (47), India (38), Bangladesh (14), Nepal (lima), dan masing-masing dua dari Thailand serta Kemboja.

Semua tuduhan terhadap warga asing itu membabitkan tinggal di Malaysia tanpa dokumen sah dan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Seramai 172 daripadanya dituduh mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan.

Manakala 146 lagi dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4), akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di seluruh Johor hasil operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di tapak pembinaan, kilang, asrama pekerja serta kedai makan antara 5 Mei hingga 17 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JIM Johor Nur Lina Athirah Abdul Rahim, Sarvena Giman, Nor Khalilah Johari, Jivaletchimy Kolandial, Asanuddin Arapa dan Abdul Latif Omar.

Dalam Mahkamah sama, seorang warga Indonesia dituduh di bawah Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau menetap di negara ini secara haram, selepas diusir atau dikeluarkan dari Malaysia.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, selain dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Tertuduh sebelum ini ditahan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru, 5 Jun lalu.

Terdahulu, kesemua warga asing terbabit dibawa ke perkarangan Mahkamah Majistret Pontian dengan menggunakan tiga lori dan dua bas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 1:54 PM