GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Amanina Suhaini


SERAMAI 150 individu termasuk 60 tekong ditahan dalam tindakan membanteras penyeludupan migran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga semalam di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan terdiri daripada individu berusia setahun hingga 60 tahun.

Katanya, terbaharu 30 individu termasuk 12 tekong ditahan selepas disyaki cuba membawa keluar migran dari Malaysia menerusi beberapa siri serbuan antara 2 hingga 7 Mei lalu.

Katanya, ia susulan serbuan di tepi pantai di Iskandar Puteri dan Kota Tinggi serta di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kota Tinggi menerusi Op Pintas Bersepadu Selatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.

"Seramai 12 tekong ditahan terdiri daripada enam lelaki warga Indonesia, empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 22 hingga 53 tahun, manakala 18 migran pula terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta dua lelaki warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 48 tahun.

"Hasil serbuan itu, barangan yang dirampas merangkumi masing-masing sebuah Proton Saga, Toyota Hilux, Proton Waja, teksi Toyota Innova dan bot fiber bersama enjin Yamaha 40 kuasa kuda, selain wang tunai RM2,531 dan 4.4 juta Rupiah (RM1,279), lapan beg pakaian serta 15 telefon bimbit.

"Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih enam sebatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 3:26 PM