GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan sudah meluluskan sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel untuk pemilik kenderaan individu (Budi Individu) serta petani dan pekebun (Budi Agri-Komoditi).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat memerlukan.

Katanya, bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.

"Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel untuk bulan ini.

"Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai BUDI MADANI bermula pada bulan permohonan dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan pada 9 Jun lalu mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 10 Jun.

Berikutan itu, bagi memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan, kerajaan memperkenalkan inisiatif Budi Madani yang menyediakan bantuan tunai RM200 sebulan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Amir Hamzah berkata seramai 30,000 pemohon sudah menerima bayaran bantuan tunai sejak 10 Jun lalu, diikuti 46,000 pemohon pula menerima bayaran hari ini.

"Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai 2024.

"Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional," katanya.

Inisiatif Budi Madani yang dibuka sejak 28 Mei lalu adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori Budi Individu; dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori Budi Agri-Komoditi.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung layak untuk menerima Budi Individu.

Sementara itu seramai hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.

Bagi pemohon individu yang gagal, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang Budi Madani iaitu https://budimadani.gov.my.

Pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah Kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu.

Selepas itu, mereka digalakkan mengemukakan permohonan Budi Madani (sekiranya belum memohon) atau mengemukakan rayuan di laman sesawang Budi Madani.

Pemohon yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung syarat kelayakan Budi Madani boleh layari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan Budi Madani di talian 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:22 PM