PAK Choong (kiri) menerima subsidi kenderaan diesel di Bank Simpanan Nasional, Alor Setar. - Gambar NSTP/WAN NABIL NASIR
PAK Choong (kiri) menerima subsidi kenderaan diesel di Bank Simpanan Nasional, Alor Setar. - Gambar NSTP/WAN NABIL NASIR
Noorazura Abdul Rahman

Keluarga pesawah di negeri ini menarik nafas lega apabila menerima subsidi diesel menerusi Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani), sekali gus membantu meringankan beban mereka dengan kenaikan bahan api itu.

Ismadi Abdul Mutalib, 47, berkata, dia menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk mengangkut barangan pertanian bagi kegunaan di sawah dan kebun getah milik bapanya.

"Saya bantu ayah di sawah sejak 15 tahun lalu, kenderaan saya digunakan untuk angkut baja, benih padi dan racun serta lain-lain barang lagi, Alhamdulillah bantuan Budi Madani ini sikit sebanyak menampung perbelanjaan diesel saya setiap bulan.

Ismadi

"Bagi pesawah dan pekebun kecil seperti kami, bantuan ini amat bermakna untuk memastikan kerja di sawah lancar," katanya yang berasal dari Jitra.

Fuzaina

Seorang lagi penerima, Fuzaina Md Yusuf, 37, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu golongan yang terbabit dalam industri pertanian.

Katanya, proses untuk memohon subsidi ini juga tidak terlalu rumit.

"Saya menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejak 2008 untuk hantar benih padi kepada pesawah. Selepas permohonan diluluskan, saya rasa bersyukur kerana ia akan membantu mengurangkan beban kami yang menggunakan kenderaan ini untuk melakukan kerja.

"Kepada pemilik kenderaan pacuan empat roda yang lain, saya harap mereka memohon segera subsidi diesel ini walaupun hanya RM200 ia dapat tampung keperluan saya," kata ibu kepada empat anak ini.

Bagi Lee Pak Choong, 52, sebagai individu yang menawarkan perkhidmatan menyelenggara mesin di kilang beras, dia sangat memerlukan bantuan subsidi diesel kerana melakukan perjalanan hampir ke seluruh Semenanjung.

Katanya, setiap hari kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk membawa pekerja ke kilang pelanggan.

"Bagus bantuan ini, saya dapat tampung perbelanjaan penggunaan diesel saya setiap bulan, selain di Kedah, kadang-kadang saya dan pekerja perlu pergi ke Terengganu dan Johor untuk selenggara mesin kilang padi di sana," kata bapa kepada tiga anak ini.

Pada 27 Mei lalu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pelaksanaan Budi Madani.

Budi Madani ialah usaha Kerajaan Madani untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak; terbahagi kepada bantuan individu (Budi Individu), petani serta pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi) dan syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Di bawah Budi Madani, pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

MOF membuka pendaftaran Budi Madani mulai 28 Mei lalu susulan pelaksanaan penyasaran subsidi.

Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan Budi Madani, sila layari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan Budi Madani di nombor 1-800-88-2747/ 03-88824565 /03-88824566 atau secara e-mel di [email protected] 

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 4:07 PM