ANGGOTA APM melakukan kerja pengalihan pokok yang tumbang di Taman Kosas, Ampang.
ANGGOTA APM melakukan kerja pengalihan pokok yang tumbang di Taman Kosas, Ampang.
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: Sebuah kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Taman Kosas, di sini, malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.37 malam.

"Seramai seorang pegawai dan empat anggota terbabit dalam penugasan itu. Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati ada pokok tumbang yang menghempap kereta berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu. Anggota bertugas juga melakukan kerja-kerja mengalihkan pokok di lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai pokok tumbang berhampiran sebuah medan selera di Jalan Wawasan, Puchong jam 8.33 malam tadi.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat pokok tumbang yang menghalang lalu lintas di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota bertugas bertindak memotong dahan pokok berkenaan menggunakan gergaji rantai sebelum mengalihkannya ke kawasan lain yang tidak menghalang lalu lintas.

"Tiada harta benda yang rosak serta tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 10:41 AM