SEBUAH kereta dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut petang tadi. FOTO ihsan APM
SEBUAH kereta dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut petang tadi. FOTO ihsan APM
Nurul Hidayah Bahaudin


BEBERAPA rumah dan kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat serta ribut petir di Hulu Langat, petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Langat Kapten Maharris Manan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 5 petang tadi.

“Kami menerima 71 panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang di sekitar Hulu Langat, Kajang dan Bangi sejak jam 5 petang tadi. Malah, sehingga kini kami masih menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Satu pasukan APM dikerahkan ke beberapa lokasi termasuk Seksyen 3, Bangi, Teras Jernang, Bangi dan Jalan Minang, Cheras.

“Selain APM, anggota bomba dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut bergegas ke lokasi bagi membantu mengalihkan pokok tumbang,” katanya ketika hari ini.

Maharris berkata, pihaknya dimaklumkan ada beberapa rumah serta kereta rosak dihempap pokok tumbang.

“Ini termasuk dua kereta milik kakitangan Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi yang diletakkan di klinik terbabit.

“Ada papan tanda di Teras Jernang, Bangi turut jatuh dalam kejadian ribut itu,” katanya.

Katanya, operasi pembersihan pokok tumbang di kawasan berkenaan sedang giat dijalankan.

Sementara itu, Pegawai APM Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai pokok tumbang di Jalan Bukit Ampang, Bandar Sri Permaisuri dan Taman Bukit Angsana kira-kira jam 5 petang tadi.

“Kami menghantar pasukan ke lokasi terbabit untuk mengalihkan pokok berkenaan yang menghalang laluan. Di Bandar Sri Permaisuri, ada tiga kereta dan dua tiang lampu rosak akibat pokok tumbang.

“Kerja pengalihan pokok sedang giat dijalankan di lokasi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 9:18 PM