JEMAAH bertawaf di Masjidilharam, Makkah. FOTO Reuters
JEMAAH bertawaf di Masjidilharam, Makkah. FOTO Reuters
Husain Jahit


Makkah: Operasi Haji bagi Musim Haji 1445H/2024 yang bermula pada 9 Mei 2024 dan kini menghampiri penghujungnya dengan selesainya operasi Masya'ir semalam, disifatkan sebagai paling berjaya dan cemerlang berbanding tahun lalu.

Ini berkat usaha berterusan dan persediaan untuk melaksanakan urusan haji dengan mengambil kira keperluan kesihatan, kebajikan dan keselamatan jemaah Malaysia bermula dari jemaah haji melaporkan diri di stesen berlepas di Malaysia, semasa di Madinah dan Makkah, ketika operasi Masya'ir di Arafah, Muzdalifah dan Mina, sehingga kembali ke tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan ibadat haji tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, kecuali 14 jemaah haji yang meninggal dunia, manakala dua jemaah haji tidak dapat berwukuf kerana memerlukan rawatan di Hospital Arab Saudi.

"Daripada jumlah itu, seramai 12,518 jemaah atau 52 peratus daripada kira-kira 24,000 jemaah Muassasah memilih untuk melakukan Nafar Awwal sudah meninggalkan Mina semalam.

"Dari segi pergerakan jemaah haji yang melaksanakan Nafar Thani, semua jemaah sudah sampai di Makkah pada tengah hari semalam," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji (TH), di sini semalam.

"Insya-Allah, jemaah haji kita akan mula berangkat pulang bermula 24 Jun 2024 dan penerbangan akhir dijangkakan akan berlepas pada 20 Julai 2024. KT pertama akan berangkat terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Abdul Aziz di Jeddah," katanya lagi.

Sementara itu, komitmen berterusan untuk menyantuni duyufurrahman yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji bermula dari Malaysia hingga ke Tanah Suci haruslah diberikan penghargaan oleh semua pihak yang terbabit sama ada di Malaysia atau Arab Saudi.

Mohd Naim berkata, pihaknya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua jemaah haji Malaysia yang sentiasa mengekalkan disiplin sepanjang berada di Tanah Suci.

"Walaupun ada sedikit cabaran semasa di Masyair, jemaah haji kita cukup bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas haji," katanya.

"Barisan petugas haji Malaysia yang bekerja tidak mengira hari, berkorban masa dan tenaga, meninggalkan keluarga tersayang untuk menyantuni duyufurrahman inilah yang kita gelar 'wira yang tidak didendang' atau istilah bahasa Inggeris, unsung heroes.

"Untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas atas komitmen petugas haji. Semoga Allah memberikan ganjaran berlipat ganda dan mengurniakan kalian dengan haji mabrur," katanya kepada Petugas Media TH, di sini semalam.

Mohd Naim juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Sahabat Maktab yang turut menyumbang tenaga dalam membantu operasi Masyair yang berjalan lancar.

"Saya dan pihak pengurusan kanan TH bersyukur kerana tiada sebarang musibah yang berlaku dan berdoa agar semua urusan jemaah haji Malaysia dipermudahkan serta dapat menyempurnakan ibadat haji mereka dan dikurniakan haji yang mabrur, insya-Allah," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 11:33 AM