MODENAS Kriss yang dinaiki dua sahabat dirempuh Toyota Vios di Jalan Lama Kuala Selangor, Panchang Bedena, Sungai Besar, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
MODENAS Kriss yang dinaiki dua sahabat dirempuh Toyota Vios di Jalan Lama Kuala Selangor, Panchang Bedena, Sungai Besar, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


DUA sahabat maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh kereta di Jalan Lama Kuala Selangor, Panchang Bedena, dekat Sungai Besar, 8.30 malam tadi.

Lebih memilukan, mangsa yang juga penunggang Modenas Kriss, Mohamad Amrey Ismail, 16, meninggal dunia serta merta dalam kemalangan itu selepas diseret Toyota Vios sejauh 70 meter bersama motosikal miliknya.

Rakannya membonceng motosikal itu, Mohammad Ali Saber Ahmad, 26, yang juga warga Myanmar turut meninggal dunia dan dijumpai dalam semak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Sungai Burung menghala ke Sungai Besar, manakala kedua-dua mangsa dari arah Sungai Besar menghala ke Sabak Bernam.

“Tiba di lokasi, pemandu kereta disyaki memotong kenderaan di hadapan dan memasuki laluan bertentangan.

“Motosikal mangsa yang kebetulan berada di laluan itu tidak sempat mengelak lalu dirempuh kereta berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Toyota Vios cedera di tangan kanan.

Menurut Chee Khoon, mayat Mohamad Amrey dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan parah di bahagian abdomen dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 1:47 PM