SALAH satu motosikal dinaiki mangsa yang terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SALAH satu motosikal dinaiki mangsa yang terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Remaja perempuan berusia 13 tahun maut, manakala adik perempuannya yang berusia 11 tahun cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Sungai Dedap, Kampung Pisang, di sini, malam tadi.

Kemalangan turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua penunggang motosikal yang meninggal dunia akibat parah dikenali sebagai Mohd Khatib Sharbini Tajuddin, 41, dari Sungai Dedap, Jalan Kota Sarang Semut dan Nur Aina Ellysya Abdul Hadi, 13.

Adik Nur Aina Ellysya, Nur Aina Syafiqa, 11, pula cedera dan dirawat di Hospital Yan.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada 9.15 malam membabitkan dua motosikal.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, Honda EX-5 ditunggang Mohd Khatib dari arah Sungai Limau Dalam menghala ke Kampung Bahagia, manakala motosikal menghala yang ditunggangi dua beradik itu dari arah bertentangan.

"Namun sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua beradik itu masuk ke laluan Honda EX-5 dan kedua-duanya bertembung di bahagian hadapan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi remaja perempuan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahnaz berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 9:17 AM