Pengasuh (kiri) dibawa ke Mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman. Foto Rosli Ilham
Pengasuh (kiri) dibawa ke Mahkamah untuk mendapat perintah tahanan reman. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Pengasuh direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kejadian seorang bayi perempuan berusia lima bulan patah tangan kiri dan pendarahan di kepala di Paya Berenjut dekat sini, kelmarin.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan perintah reman itu hingga Jumaat ini bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Semalam, dilaporkan seorang pengasuh menghubungi ibu kepada bayi terbabit dengan memaklumkan anaknya itu demam.

Berikutan itu, ibu bayi terbabit segera ke rumah pengasuh terbabit dan mendapati bayinya itu tidak bermaya sebelum mengejarkan anaknya ke Hospital Kemaman pada 11.30 pagi.

Sebaik diberi rawatan, pegawai perubatan mendapati bayi terbabit patah tangan kiri dan mengalami pendarahan di kepala.

Polis yang menerima laporan itu kemudiannya menjalankan siasatan sebelum pengasuh berusia 29 tahun itu ditahan polis pada 3.30 petang semalam di kediamannya bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 3:10 PM