Keadaan kereta Volkswagen selepas terbabit kemalangan yang mengorbankan dua lelaki dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, Kampung Mengabang Panjang. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan kereta Volkswagen selepas terbabit kemalangan yang mengorbankan dua lelaki dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, Kampung Mengabang Panjang. FOTO IHSAN POLIS
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Lelaki bersama cucu saudaranya maut selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Mengabang Panjang di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian pada 2.20 pagi itu, pemandu kereta jenis Volkswagen, Samsul Bahri Awang Noh, 50, dan penumpang yang juga cucu saudaranya, Nik Muhammad Syahidan Rosli, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa itu dalam perjalanan dari arah Batu Rakit menghala ke rumah di Jerteh, Besut.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kenderaan dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

"Pemandu dan penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya mereka dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:41 PM