MUHAMMAD Farhan di sisi anaknya, Muhammad Fawwaz Aryan, 8, yang mengalami masalah 'speech delay', namun pulih selepas menjadikan taekwando sebagai terapi. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
MUHAMMAD Farhan di sisi anaknya, Muhammad Fawwaz Aryan, 8, yang mengalami masalah 'speech delay', namun pulih selepas menjadikan taekwando sebagai terapi. FOTO Zuhainy Zulkiffli.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Hadiah Hari Bapa diterima Muhammad Farhan Shafie tahun ini sangat istimewa apabila anak sulung yang mempunyai masalah speech delay kini sudah boleh bertutur dan membaca dengan baik.

Bapa berusia 35 tahun itu tidak menyangka sukan taekwando yang dijadikan terapi pemulihan untuk anaknya, Muhammad Fawwaz Aryan, 8, sejak lebih tiga tahun lalu membuahkan hasil.

Bahkan katanya, anak sulung daripada dua beradik itu juga aktif dan menjuarai beberapa kejohanan taekwando peringkat kebangsaan dan lebih yakin apabila di khalayak ramai.

"Ketika berusia tiga tahun, Muhammad Fawwaz Aryan langsung tidak mahu bercakap serta hanya menggunakan bahasa isyarat ketika berkomunikasi, selain sering menghantukkan kepala di dinding dan lantai.

"Berikutan anak sulung dan kurang pengetahuan, kami bawa dia berjumpa dengan pakar kanak-kanak sebelum disahkan mempunyai masalah kelewatan bertutur.

"Ibu bapa mana yang boleh tidur lena jika anaknya tidak normal seperti kanak-kanak lain terutama bagi mendaftar persekolahan, sudah tentu tidak banyak diberi ruang," katanya ketika ditemui di Bukit Gambir, hari ini.

Muhammad Farhan berkata, dia dan isteri membuat penyelidikan dan pengumpulan maklumat di internet, sebelum membuat keputusan mendedahkan anak dengan aktiviti sukan serta rekreasi.

Antara aktiviti yang disertai ialah renang, bola sepak, tenis dan berbasikal, namun ia hanya seketika sebelum menyertai taekwando.

"Agak mengejutkan apabila Muhammad Fawwaz Aryan bercakap mahu ke latihan taekwando dan di sana, dia menunjukkan peningkatan iaitu berbual dengan rakan sepasukan serta jurulatih.

"Tidak dinafikan bahawa dorongan jurulatih juga amat membantu perkembangannya apabila anak sering memberi peluang mengetuai persembahan di khalayak ramai," katanya yang melihat banyak pada perbezaan anaknya.

Penjawat awam itu berkata, biarpun berhabis wang, masa dan tenaga, namun ia berbaloi apabila melihat kepada perkembangan terkini Muhammad Fawwaz Aryan.

"Inilah hadiah istimewa sempena Hari Bapa tahun ini. Segala pengorbanan dan kesabaran berhasil, bahkan kami percaya setiap kanak-kanak itu mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, ia bukan pengakhiran tapi perlu ditangani dengan sabar dan tanpa putus asa, malah tidak perlu malu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:38 PM