LELAKI bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai RM27,000 dalam kejadian samun di kedai emas  kedai emas di Pelabuhan Klang, semalam. FOTO Ihsan Polis
LELAKI bersenjatakan pistol melarikan barang kemas bernilai RM27,000 dalam kejadian samun di kedai emas kedai emas di Pelabuhan Klang, semalam. FOTO Ihsan Polis
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang lelaki bersenjatakan pistol hanya mengambil masa kurang satu minit untuk melarikan barang kemas bernilai RM27,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Pelabuhan Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, suspek bertindak memegang pengawal keselamatan kedai sebelum membawanya masuk.

Katanya, suspek kemudian melepaskan dua das tembakan ke lantai sebelum orang awam melarikan diri.

"Suspek kemudian mengarahkan penjaga premis mengeluarkan barang kemas, bagaimanapun ia tidak dituruti.

"Suspek kemudian mengambil sendiri dua gelang dan satu rantai emas di atas meja jualan yang dianggar bernilai RM27,000.

"Suspek juga mengambil dua beg tangan milik pelanggan premis itu sebelum melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 warna biru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian tidak membabitkan kecederaan kepada pelanggan dan penjaga premis, manakala anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan.

Katanya, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor turut hadir ke lokasi kejadian dan menemui beberapa barang kes termasuk satu kelongsong peluru.

"Suspek dipercayai seorang lelaki dewasa, berbaju lengan panjang warna merah selain bertopi keledar kini giat dikesan untuk tangkapan dalam masa terdekat.

"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk hadir ke balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 untuk bantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 5:57 PM