KEDAI emas di Taman Perdagangan Tanjung, Tanjung Rambutan, dipecah masuk menyebabkan pemiliknya kerugian kira-kira RM1 juta . FOTO L Manimaran
KEDAI emas di Taman Perdagangan Tanjung, Tanjung Rambutan, dipecah masuk menyebabkan pemiliknya kerugian kira-kira RM1 juta . FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah kedai emas di Taman Perdagangan Tanjung, Tanjung Rambutan, dan melarikan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara 1 hingga 3 pagi tadi dengan semua suspek dipercayai memecah masuk ke premis terbabit melalui pintu belakang.

Menurutnya, semua barang kemas yang dilarikan disimpan dalam peti besi di premis terbabit dan penjenayah dipercayai membuka peti besi berkenaan menggunakan 'grinder' (mesin penggiling).

"Suspek melarikan barang kemas dianggarkan seberat tiga kilogram (kg) dengan nilai pasaran dianggarkan kira-kira RM1 juta," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada tiga suspek berkenaan melarikan diri dengan kenderaan atau menuju ke kebun di belakang premis.

Yahaya berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 11:29 PM