ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Hulu Selangor: Ambil kesempatan melakukan rompakan solo ketika orang ramai mengerjakan solat Jumaat.

Itu tindakan nekad seorang penjenayah bermotosikal yang merompak sebuah kedai emas di Jalan Kamarudin, pekan Kuala Kubu Bharu di sini, sekitar jam 2 petang tadi.

Sumber berkata, keadaan pekan yang lengang ketika itu susulan orang ramai berada di masjid dipercayai diambil kesempatan suspek untuk melakukan rompakan.

"Suspek dikatakan muncul bersenjatakan penukul besi. Penjenayah yang memakai topi keledar dan sarung tangan bertindak memecahkan kaca pameran barang kemas di dalam premis sebelum melarikan beberapa utas barang kemas," katanya.

Menurutnya, tindakan suspek bagaimanapun sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di premis itu.

"Pekerja premis kedai emas kemudian bergegas menghubungi polis sebaik penjenayah melarikan diri.

"Susulan kejadian itu sepasukan anggota unit polis forensik melakukan siasatan dan mengumpul bukti di lokasi kejadian petang tadi," katanya.

Kejadian rompakan terbaru ini mengulangi kejadian sama Rabu lalu, apabila seorang penjenayah tanpa senjata api melarikan barang kemas selepas merompak kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian jam 3.47 petang itu, suspek bermotosikal menyamun kedai emas menggunakan sebatang besi dibalut dengan kain sebelum melarikan barang kemas bernilai RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 8:25 PM