FGV Holdings.
FGV Holdings.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil tiga pegawai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan tanah milik Felda di Melaka.

Sumber SPRM berkata, dua pegawai dipanggil pada hari Isnin dan Selasa lalu, manakala seorang lagi yang juga pegawai kanan agensi berkenaan dipanggil tadi.

"Hari ini (semalam) seorang pegawai kanan Felda dipanggil untuk dirakam percakapan dan mendapatkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, Ops Tanah Haram masih dijalankan sejak Isnin lalu dengan pembongkaran beberapa agensi dan entiti lain yang bersekongkol dalam sindiket menjual tanah Felda, namun tiada penahanan dilakukan terhadap mana-mana pegawai Felda setakat ini.

Operasi SPRM dalam kes berkenaan setakat ini membawa kepada penahanan individu membabitkan broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam, di samping penyitaan 200 akaun bank bernilai melebihi RM28 juta termasuk akaun-akaun bank Felda yang palsu.

Sementara itu Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

"SPRM akan bekerjasama dengan Felda bagi menyelesaikan isu ini demi kepentingan awam," katanya.

Beberapa media sebelum ini melaporkan SPRM menahan lapan individu yang disyaki bersekongkol menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Felda di Melaka.

Sumber SPRM memaklumkan lapan individu itu melibatkan broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam berusia lingkungan 20 hingga 50-an yang ditahan di Kuala Lumpur dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 1:42 PM