MOHD Riduan Salleh, 34 menunjukkan potret ibu saudaranya, Norini Abd Rahman, 65, yang hilang sejak 15 tahun lalu bagi menyelesaikan proses pembahagian harta pusaka ketika ditemui di pejabat NSTP, Kemayan Square, Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MOHD Riduan Salleh, 34 menunjukkan potret ibu saudaranya, Norini Abd Rahman, 65, yang hilang sejak 15 tahun lalu bagi menyelesaikan proses pembahagian harta pusaka ketika ditemui di pejabat NSTP, Kemayan Square, Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Hasbi Sidek


LELAKI buntu apabila ibu saudaranya yang hilang sejak 15 tahun lalu gagal dikesan sehingga kini tanpa mengetahui status sebenar warga emas itu.

Keadaan bertambah buruk apabila Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) meminta keluarga Mohd Riduan Salleh, 34, agar mengesan Norini Abd Rahman, 65, bagi proses pembahagian harta pusaka.

“Ibu saudara tinggal bersama adiknya yang juga ibu saudara saya. Dia yang mengalami masalah lembam keluar dari rumah di Gadong Jaya, Labu, di Seremban, ketika adiknya tiada di rumah pada 2004.

“Menyedari kehilangannya, kami cuba mencari, namun gagal menemuinya, malah turut membuat laporan polis. Kami tidak tahu apa yang sudah terjadi kepada ibu saudara,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Riduan berkata, dia sekeluarga pernah membuat iklan di akhbar mengenai kehilangan Norini beberapa tahun lalu, namun tiada sebarang perkembangan positif.

“Selepas 15 tahun kehilangannya, kami sekeluarga buntu untuk mengesan ibu saudara, malah tidak tahu sekiranya dia sudah meninggal dunia.

“Kami mempunyai harta pusaka yang perlu dibahagikan antara adik-beradik ibu saya termasuk ibu saudara yang hilang itu.

“Kami ke PTD dan mereka memaklumkan kami memerlukan kehadiran ibu saudara bagi tujuan pembahagian harta berkenaan. Jika dia sudah meninggal dunia, kami memerlukan bukti yang menunjukkan perkara itu,” katanya.

Tambahnya, dia merayu kepada orang awam atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai Norini termasuk rumah jagaan orang tua, diminta supaya menyalurkan maklumat kepadanya di talian 017-3088316.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 12:09 PM