Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana tidak berpuas hati berkaitan masalah harta pusaka menyebabkan seorang lelaki mengugut memukul abang tirinya dengan sebatang besi dan ingin membunuh serta membakar rumah mereka di Kampung Lembah Palas, Changlun, dekat sini.

Bagaimanapun tindakan suspek berusia 64 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Titi Ara, Changlun jam 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian suspek yang mengamuk dan mengugut mangsa berumur 60-an itu berlaku pada 7 Februari lalu apabila dia datang ke rumah pusaka mereka jam 7 malam.

Menurutnya, mangsa yang pulang ke rumah kemudian mendapati suspek sedang menunggunya dengan memegang sebatang besi ingin memukulnya.

“Malah suspek turut mengugut ingin membunuh dan membakar rumah itu kerana perselisihan faham berkaitan harta pusaka.

“Selepas mengamuk, suspek kemudian beredar sebelum mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri,” katanya.

Mohd Ismail berkata, susulan itu, polis mengesan suspek sebelum akhirnya ditahan malam tadi di sebuah rumah bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal suspek mengaku mengugut abang tirinya kerana tidak berpuas hati berkaitan masalah harta pusaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 11:42 AM