GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan batang mop, kayu besbol dan membaling kerusi plastik berwarna putih ke atas wanita itu, bulan lepas.

Inderjit Singh, 45, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap isterinya, Sukhvinder Kaur di sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, Taman Rainbow, Sentul di sini pada 3 petang, 5 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324/326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 18 Julai ini untuk jatuh hukum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 2:20 PM