TANGKAP layar CCTV tular menunjukkan empat lelaki menunggang motosikal dipercayai membaling bom petrol ke pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.
TANGKAP layar CCTV tular menunjukkan empat lelaki menunggang motosikal dipercayai membaling bom petrol ke pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu kota, minggu lepas.

Penghantar barang Muhammad Hasan Abd Hamid, 29, dan penarik kereta Muhamad Nur Kholis Muhamad Syaikhudin, 23, didakwa bersubahat bersama suspek yang masih bebas membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu depan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 2.17 pagi, 9 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh serta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam M.V. Yoges yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan Muhammad Hasan mempunyai tanggungan enam orang anak serta isteri yang menghidap asma serta ibu mentua yang sakit tua.

"Muhamad Nur Kholis pula menghidap penyakit gout dan terbabit dalam kemalangan sehingga cedera di bahagian kaki serta bahu menyebabkannya tidak boleh membuat kerja berat," kata peguam itu.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, Bernama melaporkan dua pengawal keselamatan M Preemraj dan Nor Rahman Sadik, masing-masing berusia 25 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 4:12 PM