PASUKAN bomba menenangkan ibu mangsa sebaik anaknya ditemukan lemas. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN bomba menenangkan ibu mangsa sebaik anaknya ditemukan lemas. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki mandi-manda di pantai Kampung Bakasan, Karambunai, di sini, bertukar tragedi apabila ditemui lemas, hari ini.

Mangsa Krispinus Raja, 12, dari Sekolah Indonesia, Kota Kinabalu, dikatakan bersama beberapa rakan mandi di pantai berkenaan sebelum disedari lemas.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.57 pagi berhubung kejadian itu.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergerak ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mangsa dilaporkan lemas di pantai ketika menjalankan aktiviti riadah dan mandi-manda bersama rombongan sekolah di kawasan pantai berkenaan.

"Mayat mangsa berjaya ditemukan pada 10.25 pagi, kira-kira 40 meter dari pantai pada kedalaman dua meter," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 12:27 PM