DAYANG Norlelah (empat dari kanan) ditenangkan ahli keluarga ketika berada di lokasi kejadian.
DAYANG Norlelah (empat dari kanan) ditenangkan ahli keluarga ketika berada di lokasi kejadian.
PELBAGAI aset digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
PELBAGAI aset digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu: “Ira dah janji dengan mummy mahu raikan hari jadinya ke-14 pada 22 Julai di Pantai Tanjung Aru, sekali gus menyambut Aidilfitri bersama, tetapi sayangnya hajat itu tidak kesampaian,” kata Dayang Norlelah Awangku Mohd, 38, mengenangkan nasib anaknya, Dayang Tiara Norman, 14, yang ditemui lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Aru Satu, di sini, kelmarin.

Dayang Norlelah berkata, itulah permintaan terakhir Dayang Tiara atau lebih mesra dengan nama panggilan ‘Ira’ kepada ibunya dua hari lalu bagi meraikan majlis hari jadi dan Aidilfitri bersama ahli keluarga serta rakan sekolahnya di Pantai Tanjung Aru, di sini.

Dia dengan nada sebak berkata, sukar buat dirinya menerima hakikat Ira yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu tidak bersama mereka meraikan Aidilfitri kali ini meskipun persiapan seperti baju dan kasut baru sudah dilakukan.

“Kelmarin, saya dikejutkan dengan panggilan kakaknya yang mengatakan Ira lemas ketika mandi-manda di laut. Ketika itu saya berada di Tuaran dan bergegas ke sini untuk mencarinya di tepi laut.

“Apa yang membuat saya bertambah sedih, kami sudah buat perancangan untuk menyambut majlis hari jadinya di Pantai Tanjung Aru pada 22 Julai nanti, sekali gus meraikan sambutan Aidilfitri ini tetapi tidak sangka pula jadi begini dan dia pergi dulu sebelum kami,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, kejadian berlaku jam 6.35 petang, Ahad lalu apabila mangsa dikatakan mandi-manda di pantai berkenaan bersama tujuh rakannya.

“Mangsa difahamkan menjerit meminta pertolongan rakannya dalam keadaan tercungap-cungap.

“Seorang rakan mangsa hampir lemas ketika cuba menyelamatkannya dan menarik mangsa ke tepi pantai, namun usaha itu gagal sebelum mangsa dihanyutkan ombak deras,” katanya.

Beliau berkata, mangsa pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac dan ketika kejadian berlaku, mangsa bersama sekumpulan rakan-rakannya dari sekolah berlainan beriadah di tepi Pantai Tanjung Aru Satu.

“Mangsa ditemui terapung 1.5 kilometer dari lokasi kejadian oleh pasukan penyelamat jam 5 petang tadi (semalam) dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:10 AM