TIGA penjawat awam dan seorang bekas anggota PBT direman kerana mengambil rasuah. FOTO ihsan SPRM
TIGA penjawat awam dan seorang bekas anggota PBT direman kerana mengambil rasuah. FOTO ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Tiga suspek itu membabitkan Timbalan Pengarah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anggota agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 14 Jun ini manakala seorang suspek yang bekas anggota agensi penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 12 Jun.

Perintah reman terhadap kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Menurut sumber, suspek utama yang juga timbalan pengarah PBT dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu daripada premis-premis yang menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan selain premis tanpa lesen sah.

"Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

"Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota-anggota penguat kuasa PBT," katanya.

Menurut sumber itu lagi, menerusi tangkapan ini, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Katanya, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dalam operasi yang diadakan semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 1:25 PM