Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sehingga kini, jumlah sitaan keseluruhan bagi kes rasuah bulanan daripada premis perniagaan haram di ibu negara mencapai lebih RM500,000.

Menurut sumber, jumlah sitaan itu susulan penahanan timbalan pengarah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT); anggota agensi penguat kuasa serta bekas anggota agensi penguat kuasa.

"Mereka yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bagaimanapun tiada tangkapan baharu dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan pembebasan empat individu itu dengan jaminan SPRM.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Harian Metro sebelum ini melaporkan SPRM Kuala Lumpur menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Tiga suspek itu membabitkan Timbalan Pengarah dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anggota agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 14 Jun, manakala seorang suspek yang bekas anggota agensi penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 12 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 4:06 PM