Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Tiga individu termasuk ketua sindiket judi dalam talian ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah kepada anggota penguat kuasa di daerah ini.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 42, bersama dua wanita masing-masing berumur 23 dan 57 tahun dikeluarkan Majistret Dzul Elmy Yunus bermula semalam hingga 27 Jun ini selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahakamah Majistret Tawau pagi ini.

Ketiga-tiga suspek tiba mahkamah jam 9.26 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dengan tangan bergari.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Barang rampasan termasuk wang tunai dan peralatan judi dalam talian yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis dekat pusat bandar Tawau, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
Barang rampasan termasuk wang tunai dan peralatan judi dalam talian yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis dekat pusat bandar Tawau, hari ini. FOTO Ihsan SPRM

Semalam, media melaporkan kesemua suspek ditahan dalam satu serbuan jam 11 pagi di sebuah premis di pusat bandar di sini kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram.

Turut dirampas wang tunai berjumlah kira-kira RM40,000 selain menyita akaun berjumlah lebih RM300,000, membabitkan empat akaun bank milik suspek dipercayai hasil perjudian.

Difahamkan, suspek lelaki tempatan terbabit turut disyaki telah membayar wang rasuah kepada beberapa anggota agensi penguat kuasa di sekitar daerah ini bagi melindungi kegiatan perjudian haram yang dijalankannya sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy dalam kenyataannya berkata beberapa siri tangkapan susulan akan dijalankan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:04 PM