Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Dalam usaha meningkatkan keselamatan pendapatan persaraan ahli bagi memenuhi keperluan kitaran hidup semasa pencarum, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) melakukan Penstrukturan Semula Akaun KWSP yang berkuat kuasa pada 11 Mei ini.

Di bawah inisiatif ini, semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel.

Rata-rata masyarakat terutama pencarum menyambut baik Penstrukturan Semula Akaun KWSP yang akan berkuat kuasa pada 11 Mei ini.

Pencarum, Siti Noorbaya Jinal, 39, menyifatkan Penstrukturan Semula Akaun KWSP sebagai penyelamat kepada pencarum daripada berdepan masalah kewangan lebih-lebih lagi dalam keadaan yang sukar ini.

Menurutnya, penstrukturan semula membolehkan pencarum mengimbangi keperluan persaraan dan keperluan semasa.

"Sebagai pencarum, walaupun masih bekerja namun gaji diperoleh setiap bulan tidak cukup terutama jika berlaku kecemasan.

"Jadi, ia dapat memperkasa ahli untuk mengimbangi keperluan persaraan dengan keperluan kitaran hayat semasa," katanya.

AMALINA.
AMALINA.

Menurutnya, pengenalan Akaun Fleksibel yang membenarkan pencarum membuat pengeluaran secara tidak langsung ia dapat membantu rakyat menangani masalah kewangan yang dihadapi.

"Seperti yang kita tahu, Akaun 1 hanya untuk persaraan dan boleh dikeluarkan apabila sudah cukup tempoh.

"Manakala Akaun 2 pula boleh dikeluarkan, tetapi untuk beberapa urusan yang tertentu saja termasuk pembiayaan perumahan, pengajian dan perubatan. Pendek kata, pencarum tidak boleh mengeluarkan simpanan sewenang-wenangnya.

"Jadi, Akaun Fleksibel dapat membantu pencarum menanggung kos sara hidup dan menggunakan duit caruman mereka jika berlaku kecemasan," katanya.

SITI Noorbaya.
SITI Noorbaya.

Bagi Amalina Che Abdul Halim, 38, penstrukturan ini membolehkan pencarum menambahkan simpanan terutama di dalam Akaun 1.

Katanya, ia dapat mendisiplinkan ahli dalam pengurusan kewangan terutama dalam ekonomi yang mencabar.

"Selain itu, ia memberi ruang dan peluang kepada ahli KWSP menggunakan wang simpanan KWSP dalam jumlah tertentu.

"Pencarum lebih berdisiplin, berhemah dan dalam masa sama tidak menggugat wang simpanan persaraan," katanya.

Namun menurut Amalina, pihak KWSP perlu memberi penerangan lanjut mengenai penambahan akaun baharu serta jumlah potongan boleh dimasukkan sebagai permulaan.

IZWAN.
IZWAN.

Sementara itu, Kakitangan swasta Mohammad Izwan Azahar, 41 berkata, inisiatif KWSP satu langkah yang bagus kerana tidak mengganggu Akaun 1 (Akaun Persaraan).

"Selain itu, pengenalan Akaun Fleksibel dapat membantu pencarum mengeluarkan wang pada bila-bila masa apabila berlaku kecemasan.

"Saya harap KWSP dapat kekalkan dividen kompetitif untuk menambah lagi tabungan persaraan pencarum," katanya.

Antara 12 Mei hingga 31 Ogos, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian baki simpanan dalam Akaun Sejahtera sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Untuk maklumat lanjut mengenai Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP, boleh melayari www.kwsp.gov.my/ms/penstrukturan-akaun atau dengan memuat turun aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 7:01 AM