ALLAHYARHAM Zayn Rayyan.
ALLAHYARHAM Zayn Rayyan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Peguam ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin memaklumkan beliau tidak dibenarkan bertemu mereka yang kini dalam tahanan reman.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu, Fahmi Abd Moin berkata, beliau sudah memohon jasa baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertemu namun tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun saya masih berusaha untuk bertemu kerana itu hak mereka berjumpa dengan peguam," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan peguam ibu bapa Zayn yang baru dilantik menggantikan peguam sebelum ini berusaha untuk bertemu pasangan terbabit.

Terdahulu semalam Fahmi mengesahkan dirinya dilantik sebagai peguam baharu mewakili ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditahan polis Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan.

Datuk Zayn, Zahari Mohd Reba turut mengesahkan peguam baharu yang dilantik pihaknya adalah Fahmi yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Sebelum ini pasangan itu diwakili Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co sebelum beliau memaklumkan dirinya tidak lagi mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 3:01 PM