Zayn Rayyan Abdul Matiin
Zayn Rayyan Abdul Matiin
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Peguam ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin memaklumkan tidak dapat bertemu dengan pasangan terbabit walaupun permohonan sudah dihantar sejak semalam.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu, Fahmi Abd Moin berkata, beliau sudah menghantar surat permohonan untuk bertemu semalam namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas.

"Jika hari ini tidak dapat bertemu, saya akan jumpa mereka di mahkamah esok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Harian Metro hari ini melaporkan polis dijangka menyambung reman ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin esok bagi meneruskan siasatan berkaitan kematian mangsa.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya akan membuat permohonan untuk menyambung reman selepas tempoh reman sebelum ini tamat esok.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada 9 malam 6 Disember tahun lalu.

Mangsa kemudiannya disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 3:48 PM