FAHMI Abd Moin. FOTO Arkib NSTP.
FAHMI Abd Moin. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Bekas Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Fahmi Abd Moin mengesahkan akan mewakili ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditahan polis, Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan.

Fahmi berkata, pihak keluarga ibu bapa Zayn sudah melantiknya sebagai peguam untuk mewakili pasangan itu.

"Insya-Allah saya akan hadir (prosiding di mahkamah Jumaat ini).

"Saya dilantik untuk mewakili mereka berdua (ibu bapa Zayn)," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, datuk Zayn, Zahari Mohd Reba turut mengesahkan lantikan Fahmi sebagai peguam baharu untuk mewakili anak dan menantunya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan peguam mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili mereka bermula hari ini.

Mahmud Jumaat daripada Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, dirinya tidak lagi mewakili ibu bapa Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 7:51 PM