MAHMUD Jumaat. FOTO arkib NSTP
MAHMUD Jumaat. FOTO arkib NSTP
Wartawan HM


Petaling Jaya: Ahli keluarga ibu kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tampil menjelaskan sudah sepakat untuk melantik Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co sejak dari awal lagi.

Kakak kepada ibu Zayn Rayyan yang mahu dikenali sebagai Azlin berkata, mereka tidak dimaklumkan terlebih dulu mengenai pertukaran peguam kepada Fahmi Abd Moin dan hanya mengetahui selepas tindakan itu diambil.

"Keluarga kami tidak pernah memberi arahan untuk melantiknya (Fahmi Abd Moin) untuk mewakili ibu Zayn.

"Kami sekeluarga sepakat untuk melantik peguam Mahmud mewakili adik kami," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan polis menyambung reman ibu bapa kepada Zayn Rayyan enam hari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.

Media turut melaporkan, bapa kepada suspek lelaki, Zahari Mohd Reba menjelaskan tiada sebarang surat rasmi untuk melantik Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co sebagai peguam kepada anak dan menantunya.

Ia menimbulkan tanda tanya mengenai apa yang berlaku dalam urusan melantik peguam oleh kedua-dua keluarga berkenaan.

Ia susulan kenyataan Mahmud sebelum ini yang memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili pasangan suami isteri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 6:41 PM