KERETA dipandu guru besar remuk selepas bertembung kereta lain di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Taman Damar, Kuala Krai. FOTO Ihsan Polis.
KERETA dipandu guru besar remuk selepas bertembung kereta lain di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Taman Damar, Kuala Krai. FOTO Ihsan Polis.
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh maut selepas kereta yang dipandunya bertembung kenderaan lain di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Taman Damar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.50 pagi itu, Ahmad Anuar Ghazali, 52, disahkan meninggal dunia ketika rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail Petra.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah Gua Musang menghala ke Tanah Merah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, disebabkan jarak terlalu dekat, kereta itu kemudian bertembung dengan Perodua Kelisa yang dipandu mangsa.

"Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan, manakala pemandu Perodua Myvi cedera di dada," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan supaya menghubungi Balai Polis Trafik Kuala Krai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 10:45 PM