Siti Nor Hidayatidayu Razali


LIMA cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan tiga kenderaan di KM54 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, di Kampung Telekong, Kuala Krai, malam tadi.

Mohamad Faruq Afif Mat Zaki yang memandu Perodua Kelisa dan tersepit patah di bahu kanan dan luka di pipi, dalam kejadian 10.25 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning, berkata kemalangan apabila Honda CRV dinaiki tiga lelaki dari Kota Bharu ke Kuala Krai dipercayai hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kelisa.

Katanya, kemalangan menyebabkan Perodua Kelisa dinaiki dua mangsa berpusing beberapa kali dan pada masa sama Proton Preve yang berada di belakangnya cuba mengelak turut melanggar kenderaan itu.

"Akibat kemalangan itu, seorang parah, empat cedera dan seorang tidak cedera. Mangsa cedera dihantar ke Hospital Kuala Krai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, kawasan kemalangan itu dan nahas membabitkan van Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Tualang, yang meragut tujuh nyawa, awal Jun lalu, hanya satu kilometer.

“Kawasan kemalangan van maahad tahfiz di KM55 Jalan Kota Bharu-Gua Musang,” katanya.

Menurutnya, pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 2:48 PM