SYED Saleh bersama Pengarah Operasi Masyair, Mohamad Zamry Mohd Noor (dua dari kanan) pada majlis simbolik penyerahan sistem pembesar di Ibu Pejabat TH di Makkah, baru-baru ini. FOTO Husain Jahit.
SYED Saleh bersama Pengarah Operasi Masyair, Mohamad Zamry Mohd Noor (dua dari kanan) pada majlis simbolik penyerahan sistem pembesar di Ibu Pejabat TH di Makkah, baru-baru ini. FOTO Husain Jahit.
Husain Jahit


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya mengutip dana berjumlah lebih RM1 juta, hasil sumbangan jemaah haji dan pendepositnya melalui Program Santunan Kasih Baitullah.

Program bertujuan memenuhi keperluan serta kebajikan jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Musim 1445H/2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dana itu dikumpul sejak Januari hingga Mei lalu.

"Program ini bertujuan memberi ruang kepada jemaah haji untuk membelanjakan harta mereka di jalan Allah SWT melalui infaq ikhlas.

"Sumbangan ini juga adalah untuk memastikan kesempurnaan pelaksanaan Rukun Islam yang kelima, selain peluang pendeposit mengumpul pahala kerana dana dimanfaatkan bagi membantu keperluan jemaah haji di Tanah Suci," katanya.

Beliau berkata, sebahagian dana akan digunakan untuk membeli 12 alat pembesar suara yang akan ditempatkan di setiap maktab dan khemah semasa operasi Masyair.

Katanya, pembesar suara bagi memudahkan penyaluran serta penyampaian maklumat yang jelas dan berkesan kepada jemaah haji.

Sumbangan ikhlas di bawah Program Santunan Kasih Baitullah boleh dilakukan menerusi aplikasi THiJARI yang didebitkan kepada Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 9:17 PM