KETUA Pengarah Penyiaran, Datuk Ruzain Idris (dua dari kanan) melancarkan program Salam Baitullah edisi ke-13.
KETUA Pengarah Penyiaran, Datuk Ruzain Idris (dua dari kanan) melancarkan program Salam Baitullah edisi ke-13.
Ridzuan Abdul Rahman


MENGGALAS tanggungjawab besar sebagai penyiar utama negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa berusaha membuat liputan dan menyediakan program berdasarkan keperluan semasa, permintaan pasaran dan kesesuaian khalayak di samping mengambil kira kepentingan pemegang taruh.

Ini menunjukkan komitmen RTM dalam menyediakan perkhidmatan yang inklusif kepada masyarakat.

Melihatkan kepada perkembangan semasa pandemik Covid-19 di seluruh dunia, tahun ini sekali lagi menyaksikan tiada pergerakan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci.

Namun, mengambil kira ibrah musim haji dan mengisi kerinduan jemaah dan umat Islam di Malaysia terhadap Tanah Suci, RTM menerusi Salam Baitullah 2021, program terbaik musim haji terus bersiaran untuk musim ke-13.

Sambutan hangat penonton pada setiap tahun menyaksikan tontonan mencecah 2.2 juta pada musim lepas.

Salam Baitullah tahun ini menampilkan dua pengacara terkenal iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamaruddin (Kumpulan UNIC) melalui penajaan daripada Olive House.

Selepas dua tahun Arab Saudi tidak membenarkan kemasukan jemaah haji seluruh dunia akibat Covid-19, Salam Baitullah tahun ini bertemakan, Suatu Kerinduan sebagai mengimbau kenangan mengerjakan ibadah haji kepada umat Islam di rantau Asia Tenggara.

Di samping itu, Salam Baitullah tahun ini akan membawakan juga berita-berita bagaimana ibadah haji secara norma baharu dilakukan.

Salam Baitullah akan disiarkan secara langsung 16 episod bermula semalam hingga 20 Julai 2021, jam 9 hingga 10 malam di TV1 dan Saluran Berita RTM (myFreeview 123) serta menerusi saluran media sosial seperti Facebook dan YouTube.

Penonton juga dapat melayari siaran langsung melalui Aplikasi RTM KLIK.

Siaran ulangan boleh diikuti setiap hari, mulai 7 Julai hingga 21 Julai 2021, di TV1 pada jam 6 petang hingga 7 malam manakala di Saluran Berita RTM pada jam 4 hingga 5 petang.

Sementara itu kemuncaknya menerusi siaran Langsung Salam Baitullah Edisi Khas (Wukuf) pula disiarkan pada 19 Julai 2021, jam 6 petang hingga 7 malam dan jam 9 hingga 11 malam.

Tahun ini, program Salam Baitullah membariskan panel-panel pendakwah terkemuka negara yang akan memperincikan pengajaran Haji berdasarkan situasi semasa.

Antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir; Pengurus Besar Kanan bagi Operasi Haji Tabung Haji, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman; Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar; Datuk Dr Izhar Ariff; Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa; Prof Madya Dr Sukki Othman dan Ustaz Roslan Mohamed.

Tidak ketinggalan Ustazah Hajah Isfadiah Mohd Dasuki; Datuk Ustaz Badlishah Alaudin; Ustaz Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah; Datuk Md Daud Che Ngah; Ustaz Zul Ramli M Razali; Ustaz Wadi Anuar; Datuk Ustaz Kazim Elias dan Datuk Dr Zahazan Mohamed.

Salam Baitullah musim ini turut menampilkan kelainan di mana terdapat Segmen Interaktif Selebriti yang dikendalikan Ustaz Fakrul Radhi (UNIC) berkonsepkan bual santai bersama artis, tokoh sukan, selebriti media sosial yang dikenali mengenai pengalaman menunaikan umrah dan haji di Tanah Suci.

Antara tetamu yang bakal hadir ialah jaguh lumba basikal negara, Azizul Hasni Awang; Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad; Datuk Cef Ismail; Faizal Tahir; Wany Hasrita; Lah Ahmad; Ashraf Muslim; Azmi Caliph Buskers dan Ustaz Aidil Azwal Zainuddin (pengasas Olive House).

Seperti musim terdahulu, terdapat tiga kuiz yang ditawarkan setiap musim (Kuiz Harian & Kuiz Terkumpul di TV dan Kuiz Harian di Medsos) hadiah bernilai RM300 berupa produk keluaran Olive House untuk Kuiz Harian TV & Medsos.

RM15,000 berupa wang tunai secara keseluruhan boleh dimenangi dengan penyertaan Kuiz Terkumpul.

Penonton boleh menyertai soalan kuiz melalui aplikasi Facebook dan Instagram Salam Baitullah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:45 AM