PEGUAM, Mahmud Abdul Jumaat. FOTO Arkib NSTP
PEGUAM, Mahmud Abdul Jumaat. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Peguam Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co menafikan pelantikan beliau sebagai peguam ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin sebelum ini atas inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti didakwa datuk kanak-kanak berkenaan.

Mahmud berkata, bagi dirinya, isu salah faham tiada langsung dari pihaknya, media atau keluarga Zayn Rayyan.

"Saya dihubungi oleh keluarga bapa Zayn Rayyan pada 11 malam (Jumaat) 31 Mei lalu yang memaklumkan ibu bapa arwah Zayn Rayyan ditahan pada pagi Jumaat dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman keesokan harinya.

"Saya ingin tekankan bahawa ini bukan inisiatif NGO tetapi inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri. Entah dari mana cerita bahawa saya ni dari NGO?," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Katanya, beliau dengan suci hati niat ingin membantu dan tidak terfikir ini bakal menjadi satu isu yang akan dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.

"Walhal tiada kewajipan untuk surat perlantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah. Asalkan pihak orang yang disyaki (OYDS) atau wakil keluarga OYDS sudah setuju untuk melantik peguam terbabit sudah memadai.

"Apatah lagi sebelum saya masuk ke dalam mahkamah, saya sudah sahkan dengan keluarga ibu bapa sendiri untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman," katanya.

Beliau berkata, tidak perlu dibincangkan lagi bahawa beliau memang ada di mahkamah pada hari terbabit, hanya peguam yang dipanggil oleh keluarga mereka.

"Kalau tak lantik kami, kami dipanggil untuk jadi apa?

"Pada hari Ahad, atuk Zayn Rayyan pula mahu berjumpa saya kerana beliau tidak berada di mahkamah ketika reman.

"Jadi saya dengan ikhlas mengajak mereka untuk berjumpa dan berbincang dengan saya di pejabat saya pada Isnin walaupun ia hari cuti umum.

"Berkorban masa demi nak memudahkan urusan mereka," katanya.

Menurut Mahmud, selepas perjumpaan itu keesokannya beliau membuat keputusan untuk tidak mewakili mereka lagi atas sebab-sebab tertentu.

"Tiba-tiba dapat berita saya tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Bagi saya ini adalah fitnah!.

"Semalam, saya dihubungi oleh datuk arwah Zayn Rayyan melalui aplikasi WhatsApp mengenai isu ini dan beliau juga memohon maaf mengenai apa yang berlaku.

"Saya harap isu pelantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini," katanya.

Menurutnya, beliau kini masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan.

"Kami hadir ke mahkamah tempoh hari mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan). Ini adalah atas pertimbangan saya untuk mewakili ibu Zayn Rayyan selepas berjumpa dengan keluarga mereka.

"Apapun saya ucapkan terima kasih kepada keluarga Isma atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan bahawa kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes," katanya.

Sebelum ini Zahari Mohd Reba dilaporkan berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah dan atas inisiatif NGO yang mencari peguam.

"Saya balik rumah, Isnin saya berjumpa dengan Mahmud Jumaat, sebenarnya tiada surat rasmi untuk lantik beliau sebagai peguam.

"Jadi saya berjumpa dengan Fahmi (peguam Fahmi Abd Moin) dan beliau adalah peguam rasmi yang saya lantik.

"Sebenarnya salah faham kedua-dua pihak mungkin antara pihak media dan Mahmud. Tidak timbul soal menarik diri, ini salah faham," katanya dipetik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 10:29 PM