Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabas merempuh kawasan parkir sebuah gereja di Taman Plaza, Petaling Jaya, pada Jumaat lalu. FOTO ihsan polis
Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabas merempuh kawasan parkir sebuah gereja di Taman Plaza, Petaling Jaya, pada Jumaat lalu. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis meminta saksi kejadian kemalangan di kawasan parkir gereja di Taman Plaza di sini, pada Jumaat lalu, untuk tampil membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, polis menerima laporan kejadian itu, 1.23 pagi kelmarin.

"Semakan mendapati kemalangan berlaku jam 11.46 malam ketika seorang lelaki berusia 30-an yang memandu kenderaan ulititi sukan (SUV) dalam perjalanan dari Subang Jaya ke Kelana Jaya.

"Pemandu menyatakan tersalah jalan dan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke kawasan parkir gereja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

M Hussin berkata, pemandu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sampel darah pemandu sudah diambil dan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol dan dadah. Hasil siasatan mendapati kejadian itu tidak membabitkan unsur sabotaj atau khianat oleh mana-mana pihak," katanya.

Katanya, pihaknya masih dalam tindakan mengesan dan merakam keterangan saksi bebas kejadian itu.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau berada di lokasi kejadian untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 12:12 PM