KEMALANGAN membabitkan penunggang motosikal yang maut selepas melanggar belakang sebuah lori di Jalan Persiaran Jati, Petaling Jaya. FOTO Ihsan Polis
KEMALANGAN membabitkan penunggang motosikal yang maut selepas melanggar belakang sebuah lori di Jalan Persiaran Jati, Petaling Jaya. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis mengesan saksi kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Persiaran Jati di sini, awal pagi ini.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan pada 2.40 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, lelaki berusia 48 tahun yang menunggang motosikal Honda Wave meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku 2.03 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah di Jalan Raja Laut menghala ke Kepong.

"Motosikal mangsa dikatakan melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kiri kerana mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau memohon individu yang melihat kejadian itu supaya tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor M Sivam@Siva di talian 017-3290749 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 7:45 PM