RAKAMAN gambar tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN gambar tular di media sosial. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis giat mengesan pemilik video kamera papan pemuka kenderaan atau dashcam yang merakam kejadian penunggang motosikal menendang sebuah kereta di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), dekat sini.

Rakaman video berdurasi satu minit 22 saat itu dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas tular di media sosial Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, berdasarkan rakaman mendapati kejadian berlaku pada 8.50 malam, 26 Mei lalu.

"Dalam rakaman itu, penunggang motosikal jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti membuat aksi menendang sebuah kereta Perodua Myvi yang memandu di lorong kanan.

"Kejadian dipercayai akibat penunggang tidak puas hati terhadap kereta yang menukar lorong secara bahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kejadian tidak membabitkan kemalangan dan kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Bagaimanapun, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Justeru, beliau meminta perakam insiden tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 atau ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 12:32 PM