Lelaki maut dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan ketika melintas jalan di KM30.4 Lebuhraya Persekutuan arah Klang, dekat Petaling Jaya, pagi ini. Pic ihsan polis
Lelaki maut dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan ketika melintas jalan di KM30.4 Lebuhraya Persekutuan arah Klang, dekat Petaling Jaya, pagi ini. Pic ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Lelaki maut dipercayai dilanggar lari kenderaan di Kilometer 30.4 Lebuhraya Persekutuan arah Klang dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, polis menerima laporan kejadian pada 8.52 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 8 pagi. Lelaki itu dikatakan melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan, jenis tidak pasti.

"Mangsa mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

M Hussin berkata, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 50-an.

Katanya, ketika ini polis sedang mengesan maklumat peribadi mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau memohon kerjasama saksi kejadian atau individu yang mengenali mangsa dan keluarganya supaya tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:30 PM