Kuala Lumpur: Pihak pengurusan kumpulan pendaki yang terkandas di Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat iaitu Alpine Club Malaysia (ACM) sudah memaklumkan tragedi berkenaan kepada Konsulat Malaysia di Los Angelas.

Ketua Komunikasi ACM, Ayob Yahaya berkata, pihak konsulat Malaysia sedang membantu dalam usaha menyelamatkan Zainudin Lot, 48, dan Zulfikli Yusof, 37, yang masih terkandas di Football Fields berketinggian 5,791 meter.

"Isteri Zainudin iaitu Norsafrina Shamsir sudah berada di Alaska dan sentiasa berhubung dengan pihak ACM dari semasa ke semasa untuk mengetahui keadaan terkini dua sahabat pendaki kita yang masih berada di laluan pendakian.

"Selain itu, kita juga sentiasa berhubung dengan pihak keselamatan Taman Negara Denali untuk mengetahui bantuan yang sudah diberikan. Kita berharap dan berdoa Zainudin dan Zulfikli dapat bertahan," katanya.

Jelasnya, kali terakhir maklum balas yang diterima oleh ACM mengenai keadaan Zainudin dan Zulfikli sekitar 30 jam lalu selepas ranjer Taman Negara Denali menghantar kakitangan untuk memberikan bantuan. Namun, terpaksa turun semula memandangkan keadaan cuaca yang buruk.

"Dalam perbualan itu, pihak ranjer memaklumkan keadaan Zainudin dan Zulfikli mengalami hipotermia dan menyebabkan luka beku.

"Bagaimanapun, bantuan dari segi pemberian 'sleeping bag', makanan dan membina 'snow cave' serta keperluan untuk bertahan sudah pun disalurkan.

"Bagi membawa mereka turun menggunakan helikopter ketika ini agak sukar kerana keadaan cuaca buruk dan pihak mencari dan menyelamat hanya menunggu masa sesuai dengan cuaca untuk terus ke lokasi Zainudin dan Zulfikli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 10:25 AM