Lokasi penempatan etnik Rohingya di Kuala Lumpur sudah lengang.
Lokasi penempatan etnik Rohingya di Kuala Lumpur sudah lengang.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: 'Kampung Rohingya' yang digempur pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sekitar Sentul di sini, Selasa lalu, lengang susulan ramai penghuninya bimbing untuk kembali di kawasan itu..

Tinjauan Harian Metro tadi mendapati lokasi yang terletak hanya beberapa kilometer (km) daripada pusat bandar hampir sepenuhnya dikosongkan malah beberapa premis sudah mula dirobohkan pihak berkuasa tempatan.

Namun masih kelihatan sebilangan kecil kanak-kanak bermain sambil ibu mereka dipercayai etnik Rohingya berkemas dan bersiap sedia untuk berpindah ke lokasi lain.

Ketika ditanya mengenai hala tuju mereka, wanita itu bagaimanapun enggan memberikan jawapan seolah-olah tidak mengerti atau kurang fasih berbahasa Malaysia atau Inggeris.

Pada masa sama sekumpulan anggota dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat menampal notis pengosongan di 30 premis rumah kayu yang dibina secara haram di kawasan itu.

Difahamkan notis pengosongan diberikan selama tujuh hari bagi memberi ruang pemilik atau penduduk di perkampungan itu untuk mengemas barangan masing-masing.

Selepas tempoh notis tamat, kerja-kerja merobohkan premis akan dijalankan dalam masa terdekat selepas mendapat persetujuan jabatan berkaitan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan 124 Pendatang asing tanpa izin (Pati) yang mendiami penempatan haram itu ditahan dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 4:31 PM