AERIL Rizqi yang menghidap penyakit hati kritikal sejak lahir. FOTO NSTP
AERIL Rizqi yang menghidap penyakit hati kritikal sejak lahir. FOTO NSTP
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: "Alhamdulillah, genap dua minggu selepas kisah anak kami disiarkan Harian Metro, jumlah wang untuk dia jalani pembedahan sudah lebih daripada mencukupi," kata Mimi Azila Abdul Rahman, 29.

Katanya, dia terkejut dan terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang menyumbang untuk Putra Aeril Rizqi Khairul Najib, 2, yang mana kini jumlah derma terkumpul dari pelbagai pihak sebanyak RM275,730.69.

Menurut Mimi Azila, sehubungan itu dia dan suaminya, Khairul Najib Khamis, 29, kini menunggu masa yang sesuai ke negara China bagi pembedahan hati anaknya itu.

"Kami amat terharu dan rasa macam mustahil pun ada kerana dalam masa yang singkat jumlah kutipan melebihi daripada yang kami perlukan. Terima kasih semua, terlalu ramai orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perkasih N9, kerajaan Negeri Sembilan dan Persatuan Biliary Atresia SeMalaysia (BAMA).

"Terdapat lebihan sebanyak RM90,730.69 di mana kami akan agihkan kepada dua bayi yang mengalami nasib yang sama seperti anak kami. Dana ini akan diuruskan sepenuhnya oleh BAMA," katanya.

Mimi Azila berkata, selepas Putra Aeril disahkan menghidap penyakit hati kritikal sejak lahir, dia dan suami pasrah namun tidak berhenti berdoa dan berikhtiar.

"Sepatutnya sasaran kutipan yang kami perlukan sebanyak RM185,000 sahaja. Tapi rezeki Allah hadir pada waktu sangat tepat bila saya hampir jatuh berputus asa.

"Allah hadirkan penyumbang dari segenap sudut tak kira bangsa agama, semua bersatu untuk membantu satu-satunya anak kami. Saya benar-benar terharu dengan kebaikan rakyat Malaysia, tak mampu saya nak ucapkan satu persatu," katanya.

Katanya, mereka dijangka terbang ke China selepas 8 Julai ini kerana banyak urusan dokumentasi perlu disiapkan.

Pada 15 Jun lalu, Harian Metro menyiarkan kisah Mimi Azila yang sanggup mendermakan hatinya untuk anaknya dan sumbangan kewangan bagi menampung kos pembedahan di China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 10:30 AM