Pihak berkuasa menjalankan operasi terhadap sebuah pusat hiburan yang beroperasi lebih masa di ibu kota pagi tadi.
Pihak berkuasa menjalankan operasi terhadap sebuah pusat hiburan yang beroperasi lebih masa di ibu kota pagi tadi.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PUSAT hiburan terkenal dengan jolokan ‘disko bawah tanah’ yang menjadi tumpuan warga asing dan tempatan berhibur di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, digempur pihak berkuasa awal pagi tadi.

Pusat hiburan yang dianggap kebal itu pernah diperiksa sebelum ini kerana kerap beroperasi melebihi waktu dibenarkan.

Serbuan menerusi Ops Banteras Aktiviti Haram (Bah) Siri ke-10 itu turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI).

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Muhamad Irwan Abdullah berkata, ketika serbuan dijalankan kebanyakan pengunjung sedang leka berhibur.

“Malah ada diantara mereka cuba melarikan diri namun tindakan mereka itu gagal selepas kawasan berkenaan sudah dikepung.

“Pihak AADK menyaring 31 individu dan hasilnya lima individu positif dadah jenis ganja, manakala JAWI mengeluarkan 57 notis hadir kaunseling kerana minum minuman memabukkan,” katanya selepas tamat operasi terbabit.

Muhamad Irwan berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah spa di Jalan Gelang sebelum menahan 20 warga asing termasuk 12 wanita dipercayai pekerja premis berkenaan.

“Selain itu pihak JAWI turut mengeluarkan empat notis kaunseling kepada individu beragama Islam yang berada di premis terbabit.

“Semua individu yang ditahan diserahkan kepada agensi masing-masing dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/1963 pindaan 2002, Seksyen 43 Akta 559 penyubahatan dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) pindaan 1998,” katanya.

Katanya, operasi bersepadu ini akan dilakukan secara konsisten bagi memastikan tiada pusat hiburan di ibu kota ini melanggar syarat ditetapkan pihak berkuasa dan sekiranya mereka berdegil, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 5:28 PM