Wan Sani berbual bersama Ikmal (tengah) dan Apih (kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Wan Sani berbual bersama Ikmal (tengah) dan Apih (kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA akan buktikan kepada ibu bapa dan masyarakat saya boleh berjaya dan layak memperoleh peluang kedua daripada mereka,” kata Ikmal, 21, (bukan nama sebenar).

Ikmal adalah salah seorang daripada 13 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Integriti Marang (SIM) di Penjara Marang yang ditemui pada Majlis Aidilfitri Dirai SIM di Penjara Marang hari ini.

Ikmal berkata, dia menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan satu sebatan kerana kesalahan dadah pada Ogos 2018.

“Kehidupan saya rosak sejak terbabit dengan syabu ketika berusia 14 tahun sehingga diberhentikan setahun kemudian kerana masalah disiplin.

“Sejak itu, hidup saya tak terurus malah langsung tidak tahu solat, jauh sekali membaca al-Quran.

“Bagaimanapun sejak ditahan di Penjara Marang dan diberi peluang bersekolah di SIM, semuanya berubah. Banyak yang saya pelajari meskipun baru 10 bulan berada di sini,” katanya yang berasal dari Kuantan.

Menurutnya, dia pasti bergelumang dengan dadah dan tidak berpendidikan jika tidak dimasukkan ke penjara.

“Pengalaman menunaikan solat buat pertama kali dengan sempurna membuat saya tenang.

“Ini masa untuk saya menebus kesilapan lalu dan meraih keputusan cemerlang dalam SPM,” katanya yang mensasarkan lulus semua mata pelajaran termasuk 2A dalam subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

Bagi Apih, 20, (bukan nama sebenar) dari Pasir Puteh, Kelantan dia mensasarkan keputusan 6A dalam SPM sekali gus memperbaiki keputusan SPM terdahulu.

Dia yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan berkata, dia hanya mendapat 1A, 3B, 3C dan 2D dalam SPM sebelum ini kerana kurang belajar dan terbabit dengan pil kuda.

“Apabila menjalani hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan di sini, saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya dan memperuntukkan antara dua hingga tiga jam mengulangkaji pelajaran,” katanya.

Menurut Apih, kehidupannya lebih terurus di penjara sekali gus memberi peluang kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Saya sudah banyak mengecewakan ibu bapa, jadi ini masanya untuk saya menebus semula kesilapan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Shafruddin Ali Hussin berkata, sehingga kini, tiga bekas pelajar SIM berjaya melanjutkan pengajian ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dalam bidang kejuruteraan.

“Kami yakin dengan kemampuan pelajar SIM, mereka harus diberi peluang kedua untuk berjaya dan usaha yang dilaksanakan Penjara Marang melalui SIM ini berjaya membentuk pelajar ke arah kecemerlangan.

“Keputusan SPM yang diperoleh pelajar SPM terdahulu juga sangat membanggakan apabila dua pelajar tahun lalu berjaya memperoleh keputusan 7A dan 6A dalam peperiksaan,” katanya.

Turut hadir Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah dan Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 12:18 AM