BANDUAN Penjara Marang bersorak selepas memperoleh keputusan cemerlang. FOTO Bernama.
BANDUAN Penjara Marang bersorak selepas memperoleh keputusan cemerlang. FOTO Bernama.
BERNAMA

“ENAM A yang amat berharga untuk pengampunan walaupun masa depan masih tidak mampu diduga,” luah banduan Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Penjara Marang selepas mengetahui memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.

Hassan, 21 (bukan nama sebenar) yang ditemu ramah Bernama berkata, dia mungkin akan kekal di situ, jika dirinya sendiri tidak berusaha melakukan perkara yang terbaik untuk mendapatkan pengampunan.

Kisah Hassan yang memohon supaya orang ramai mendoakannya selepas menduduki peperiksaan SPM tahun lalu pernah tular di media sosial.

Menurutnya, doa itu juga memungkinkan dia berjaya malah tidak mustahil untuknya ‘bebas’ dari penjara selepas disabit pada 2016 atas kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“Malam tadi saya tak dapat lelap mata. Macam-macam bermain di fikiran. Saya sangat berharap keputusan cemerlang untuk buka mata banyak pihak.

“Orang lain mungkin akan sibuk mengisi kemasukan ke universiti. Saya juga ada keinginan, walaupun belajar secara dalam talian, tetapi ia perlukan perbelanjaan sendiri, bimbang juga keluarga tidak mampu,” katanya yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik.

Hassan berkata, sebelum ini ibunya pernah hadir ke penjara dan terkejut hingga mengalirkan air mata apabila melihat keputusan peperiksaan percubaan (4A 2B 1C) dan kali ini pasti ibunya akan berbangga dengan rekod yang lebih baik.

“Semasa di luar (bebas), saya tak dapat menggembirakan mak. Hanya sekarang baru berpeluang.

“Saya memang nak keluar, jadi orang awam. Semua nak buat untuk mak,” katanya yang mengakui kesalahan yang dilakukan sebelum ini akibat pengaruh kawan dan kemiskinan.

Sekolah Integriti Penjara Marang merekodkan keputusan cemerlang tahun ini apabila kesemua 16 pelajar yang mengambil SPM mencapai rekod lulus iaitu seorang pelajar memperoleh 6A (Hassan), manakala empat lagi pelajar masing-masing memperoleh 5A, 4A, 3A, 2A dan 11 pelajar mendapat 1A.

Paling membanggakan apabila semua pelajar memperoleh A bagi subjek Sains.

BANDUAN melakukan sujud syukur selepas memperoleh keputusan cemerlang. FOTO Bernama.
BANDUAN melakukan sujud syukur selepas memperoleh keputusan cemerlang. FOTO Bernama.

Sementara itu seorang lagi banduan, Alif, 22, (bukan nama sebenar) turut mencatat sejarah tersendiri apabila memperoleh keputusan baik meskipun kali terakhir belajar, ketika tahun enam.

Dia yang menjalani hukuman penjara sejak 2018 hanya berpeluang belajar selama enam bulan selepas dia membuat keputusan untuk menduduki SPM tahun lalu.

Katanya, peperiksaan itu untuk membuktikan kepada ibunya bahawa dia boleh berubah dan mahu dia diterima semula dalam keluarga selepas dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan akibat melakukan rompakan.

Beliau mengakui kejayaan yang diperoleh itu hasil dorongan rakan di penjara dan teknik guru mengajar yang lebih berbentuk kuiz dan latihan secara berkumpulan.

“Saya sendiri tidak sangka daripada tak pernah ke sekolah menengah akhirnya ambil SPM. Dapat pula A dalam Sains... Sungguh tak sangka. Tekad saya nak sambung belajar. Saya akan bebas nanti,” katanya.

Alif berkata, selepas tahun enam dia dijaga datuk ekoran kedua ibu bapanya berpisah.

Dia tekad bekerja sebagai nelayan demi kelangsungan hidup namun episod hitam menimpanya apabila adik (dijaga ibunya) menerima pelbagai ugutan kerana berhutang sebanyak RM200 hingga memaksanya yang terdesak merompak sebuah kedai serbaneka.

Kesalahan itu kali pertama dilakukannya, namun anak sulung daripada tiga beradik itu bersyukur kerana ia memberi peluang untuknya mendapat pendidikan yang lebih baik.

Sementara itu, penyelia sekolah terbabit, Nor Amalia Kasim berkata, keputusan SPM kali ini sangat membanggakan dan ia dicapai hasil kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) yang turut menyalurkan dana bagi membeli buku sekolah dan buku rujukan.

“Ia juga sokongan daripada pihak penjara, pegawai yang menjaga kebajikan pelajar dan guru yang mengajar tanpa berbelah bahagi. Belajar di penjara pastinya tidak indah seperti di luar sana.

“Harapan saya pelajar ini akan melangkah lebih jauh. Semoga masyarakat juga akan menerima bekas banduan. Bukan semua daripada mereka akan melakukan kesalahan yang sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 9:00 PM