Antara banduan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Kompleks Penjara Kluang, Johor. Foto Mohamad Fahd Rahmat
Antara banduan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Kompleks Penjara Kluang, Johor. Foto Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: "Saya selalu fokus ketika guru mengajar selain amal solat sunat hajat 12 rakaat hampir setiap hari."

Begitu kata Aiman (bukan nama sebenar), 20, bekas pelajar Sekolah Integriti Marang, Terengganu yang meraih 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Pada masa sama, Aiman turut dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM 2023 dan Pelajar Terbaik SPM 2023 Sekolah Integriti (3A ke atas).

Aiman berkata, dia juga sentiasa melakukan latihan berulang kali selepas solat Subuh dan Maghrib untuk mengapai cita-cita menjadi jurutera suatu hari nanti.

Menurutnya, ini adalah kali kedua dia mengambil SPM dan mahu membuktikan banduan mampu mencipta kejayaan walau berada di sebalik tembok penjara.

"Saya nak ubah persepsi masyarakat bahawa banduan juga mampu berjaya, banduan juga mampu mendapat kejayaan sama seperti pelajar luar.

"Selepas ini saya mahu sambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. (TVET)," katanya yang masih berbaki enam bulan penjara.

Sementara itu, Ash, 22, (bukan nama sebenar), pelajar Sekolah Integriti Kluang yang turut mendapat 8A berkata, ini adalah kali ketiga dia menduduki SPM dengan kali terakhir pada tahun lalu dengan memperoleh keputusan 5A

"Sekarang saya sedang ambil Diploma Keusahawanan di bawah tajaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di semester 5 dan bercita-cita ingin jadi pensyarah

"Hari ini sepatutnya ada peperiksaan akhir dan minggu depan ada latihan industri selama 3 bulan.

"Insya-Allah saya akan tamat pada November ini dan jika syarat mencukupi akan sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda Universiti Terbuka (OUM) di Kajang," katanya.

Ash menjalani hukuman penjara sejak 2019 dan bakal dibebaskan pada 2028.

Kedua-dua banduan itu turut menerima hadiah wang tunai yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan di Kompleks Penjara Kluang, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 4:38 PM