JUSOH bersalaman bersama ibunya. FOTO Ghazali Kori
JUSOH bersalaman bersama ibunya. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Marang: "Saya rasa terharu dan sedih apabila melihat ibu bapa hadir hari ini. Saya nekad berubah kerana tidak mahu mengecewakan mereka lagi," kata Jusof, 35, (bukan nama sebenar).

Jusof antara 118 banduan yang dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidiladha.

Dia ditemui di Dataran Setia, Penjara Marang di sini, hari ini.

Menurut Jusof, dia bersyukur kerana tidak pernah dibuang keluarga walaupun sudah dua kali dipenjara akibat penyalahgunaan dadah.

"Kali pertama saya dimasukkan ke penjara akibat dadah pada 2016, manakala kali kedua pada Februari tahun ini.

"Saya tahu saya salah kerana mengulangi kesalahan sama namun kali ini, saya insaf dan nekad mahu mengubahnya, bukan hanya untuk diri saya sendiri tetapi demi keluarga yang tidak pernah membuang saya.

"Saya sepatutnya dibebaskan pada Julai tetapi saya bersyukur apabila keluar awal sekali gus dapat menyambut Aidiladha bersama keluarga," katanya yang mengalami kecacatan pada kaki kiri akibat kemalangan.

Bagi Salleh, 29, (bukan nama sebenar) pula, berada di sebalik tirai besi menyebabkan dia lebih menghargai masa bersama keluarga.

"Berada di dalam buat saya ingat pada keluarga kerana di luar, kita lupa pada keluarga selain kembali menghayati ajaran Islam yang selama ini tidak dilakukan dengan sempurna.

"Saya tidak mahu masuk lagi dan mahu memulakan kehidupan baru selain berharap masyarakat boleh terima saya balik," katanya yang sudah diterima bekerja di sebuah kedai mencuci kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:16 PM